Monday, March 21, 2011

Libya lumpuh : Tentera bersekutu bedil 112 Tomahawk dalam serangan awal pagi semalam.

BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi  musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.
BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.
TRIPOLI: Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan peluru berpandu Tomahawk dan membuat serangan udara terhadap beberapa sasaran di Libya awal pagi semalam, mencetuskan kemarahan pemimpin negara Arab itu, Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean sebagai ‘medan perang.’

Jet pejuang Perancis lewat kelmarin memulakan serangan dalam operasi ‘Odyssey Dawn’ itu yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan Khamis lalu.

Operasi berkenaan yang menyaksikan kereta kebal dan kereta perisai tentera Gaddafi dibedil, adalah campur tangan ketenteraan antarabangsa terbesar di rantau Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.

Beberapa jam selepas tindakan permulaan oleh Perancis, kapal perang dan kapal selam AS dan Britain melancarkan 112 peluru berpandu Tomahawk ke arah 20 sasaran di kawasan pantai Libya dalam kegelapan sebelum fajar bagi membolehkan jet pejuang tentera bersekutu memasuki ruang udara Libya tanpa tentangan.

Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara AS yang tidak mahu namanya didedahkan berkata sistem pertahanan udara Libya lumpuh akibat serangan bertalu-talu misil Tomahawk berkenaan.

Selain melancarkan misil, Tentera Udara Diraja Britain turut menghantar beberapa jet pejuang Tornado GR4, manakala AS menghantar 19 pesawat termasuk pengebom halimunan B2, untuk membuat pengeboman ke atas Libya.

Dalam reaksi pertamanya terhadap serangan berkenaan, Gaddafi berkata tindakan AS, Britain dan Perancis itu adalah satu keganasan terhadap Libya.
“Kami akan mempertahankan negara ini daripada musuh asing yang mahu mengeksploitasi pergolakan di sini.

“Penduduk Libya bersama saya dalam melancarkan perang besar-besaran terhadap musuh asing ini. Kami sudah membuka depoh senjata bagi mengagih senjata kepada rakyat untuk menentang pengganas ini,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen tempatan semalam.

Tentera Gaddafi mendakwa 48 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan ulama terbunuh dan 150 cedera dalam serangan tentera bersekutu itu, bagaimanapun angka itu tidak dapat disahkan oleh pihak berkecuali.

Keganasan meletus di Libya sejak sebulan lalu apabila Gaddafi cuba menghapuskan bantahan rakyat yang mahu menamatkan pemerintahan kuku besi beliau sejak 42 tahun lalu.

Pemberontak yang menguasai bandar kedua terbesar Libya, Benghazi menyambut baik serangan tentera bersekutu itu yang dijangka mengubah momentum untuk memihak kepada pemberontak selepas tentera Gaddafi mampu menyingkir mereka daripada beberapa bandar.

Bangkai kenderaan tentera Gaddafi yang musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam, membolehkan pasukan pemberontak mara ke bandar Ajdabiyah untuk menawannya semula selepas disingkir tentera kerajaan minggu lalu. – Reuters/Agensi/AFP
sumber : berita harian online

* apakah yang akan berlaku pada dunia Islam kini ? dimanakah kekuatan umat Islam dhari ini ? kemanakah saudara-saudara sesama Islam lain dikala saudaranya dilanda kedukaan ? tidak cukupkah Palestin menjadi saksi akan sikap umat Islam kini yang bersikap individualistik ? dimanakah pemimpin-pemimpin dunia Islam yang seharusnya berada dibarisan hadapan bersama rakyat mempertahankan Islam ??

No comments:

Post a Comment