Monday, March 21, 2011

Apabila alam tunjuk kehebatan, tiada kuasa manusia dapat menghalang : Oleh Abdul Latif Abu Bakar



TATKALA gempa bumi paling kuat dan paling hebat dalam sejarah moden manusia melanda perairan Aceh pada 26 Disember 2004, ia dikatakan gempa bumi paling menggerunkan dalam sejarah moden manusia. Dengan kekuatan 9.1 magnitud, gempa di dasar laut itu mencetuskan ombak besar tsunami.

Di Indonesia saja, sekitar 220,000 orang maut. Bumi Aceh diranapkan dan sehingga ke hari, masih ada kerja pembangunan semula Aceh dilaksanakan.

Gempa berukuran 9 magnitud dan menjadikannya gempa bumi kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang menjadikan Hiroshima, Jepun bagai padang jarak padang terkukur yang membunuh ratusan ribu manusia dan membawa kepada kekalahan Jepun di Asia dalam Perang Dunia Kedua.

Badai besar atau tsunami dari gempa bumi Aceh bergerak sangat hebat sehingga ke Thailand, membunuh ratusan manusia yang berada di tengah-tengah laluannya.
Tsunami itu juga bergerak ke Lautan Hindi dan singgah di kawasan pulau Andaman, India dan meranapkan segala binaan di sana. Badai juga menghentam pinggir pantai Sri Lanka dan menjejaskan teruk ibu negara Colombo.

Jumlah maut sebegitu besar dikatakan kerana negara terbabit tidak menyediakan sistem amaran awal bagi menggerakkan mereka yang tinggal di kawasan kritikal meninggalkan kawasan tempat tinggal.

Negara terbabit termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, India dan Sri Lanka adalah kelompok negara membangun yang kekuatan ekonomi dan teknologi pastinya tidak setanding Jepun.
Tiba-tiba igauan 2004 berlaku lagi dan kali ini di Jepun, ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Gempa bumi berukuran 9 magnitud, hampir sama dengan kekuatan gempa yang melanda Aceh.

Gempa mencetuskan tsunami yang tidak pernah dilihat manusia sejak tsunami 2004 di Aceh. Seluruh dunia terkejut dan bersimpati.

Pihak berkuasa Jepun dalam kenyataan terbaru menganggarkan lebih 15,000 orang dikhuatiri sama ada terbunuh atau hilang dalam bencana tsunami yang melanda negara itu minggu lalu. Selain itu, 387, 000 orang lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan ditempatkan di sekitar 2,000 pusat pemindahan sementara.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana pula mengumumkan bangunan atau binaan yang sama ada sebahagian atau keseluruhannya terbakar dalam bencana itu sudah mencecah 100,396 buah. Kekuatan dan kehebatan fenomena alam yang berlaku pada 11 Mac 2011 dikatakan sudah merubah kedudukan pulau utama Jepun kira-kira 2.4 meter dan seperti gempa bumi Aceh 2004, gempa di utara Jepun ini juga dikatakan turut merubah kedudukan paksi bumi seperti yang dicatatkan oleh Jabatan Ukur Geologi Amerika Syarikat (USGS). Institut Kebangsaan Geofizik dan Gunung Berapi Itali menganggarkan gempa bumi berukuran 9 magnitud itu mengalih kedudukan paksi bumi kira-kira 10 sentimeter.

Nilai sebenar kemusnahan di wilayah utara Jepun itu masih dalam penghitungan tetapi anggaran awal menunjukkan kos pembinaan semula rumah, kilang, jalan raya dan jambatan yang musnah itu mungkin mencecah AS$200 bilion.

Ramai khuatir kemusnahan ekonomi akibat gempa bumi kali ini mungkin meninggalkan impak besar dan berlarutan di Jepun. Jika ini berlaku, rantaian kerosakan ekonomi akan berlaku di banyak tempat dunia, termasuk Malaysia. Pemerhati yakin kemusnahan kali ini jauh lebih hebat berbanding gempa bumi Kobe pada 1995. Betapa tidaknya kerana gempa bumi Kobe dicatatkan pada kekuatan 7.2.

Jepun antara negara paling bersedia hadapi bencana berdasarkan perkiraan ilmu manusia menggunakan kemudahan teknologi paling canggih. Menurut pakar tsunami di Universiti Southern California AS, Costas Synolakis, Jepun sudah membina sistem amaran awal menghadapi tsunami.

Kesilapan utama, kata pakar itu kerana Jepun tidak menjangkakan gempa dan tsunami sehebat itu.

Begitulah, apabila alam menunjukkan kehebatannya tidak ada kuasa manusia dapat menyekatnya. Kalau begitu kehebatan fenomena alam, ini membawa kita untuk menginsafi dan akur dengan kehebatan pencipta-Nya.

Manusia mesti menerima hakikat kehebatan alam kerana jika manusia lupa, kehebatan alam tiada tolak ansur. Manusia mesti menerima ketetapan bahawa mereka dan alam wujud sandar menyandar dan mesti saling berkompromi. Jangan mencabar alam dengan pembangunan tidak terancang dan kerakusan sehinggakan manusia ingin menjadi kuasa menentukan ketetapan alam.

Kita pernah melihat alam menempiaskan kemarahannya dengan kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan keruntuhan Highland Towers. Fenomena alam di Jepun ini banyak mengajar kita dan kita perlu duduk dan banyak-banyak merenung dalam diri.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka


Libya lumpuh : Tentera bersekutu bedil 112 Tomahawk dalam serangan awal pagi semalam.

BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi  musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.
BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.
TRIPOLI: Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan peluru berpandu Tomahawk dan membuat serangan udara terhadap beberapa sasaran di Libya awal pagi semalam, mencetuskan kemarahan pemimpin negara Arab itu, Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean sebagai ‘medan perang.’

Jet pejuang Perancis lewat kelmarin memulakan serangan dalam operasi ‘Odyssey Dawn’ itu yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan Khamis lalu.

Operasi berkenaan yang menyaksikan kereta kebal dan kereta perisai tentera Gaddafi dibedil, adalah campur tangan ketenteraan antarabangsa terbesar di rantau Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.

Beberapa jam selepas tindakan permulaan oleh Perancis, kapal perang dan kapal selam AS dan Britain melancarkan 112 peluru berpandu Tomahawk ke arah 20 sasaran di kawasan pantai Libya dalam kegelapan sebelum fajar bagi membolehkan jet pejuang tentera bersekutu memasuki ruang udara Libya tanpa tentangan.

Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara AS yang tidak mahu namanya didedahkan berkata sistem pertahanan udara Libya lumpuh akibat serangan bertalu-talu misil Tomahawk berkenaan.

Selain melancarkan misil, Tentera Udara Diraja Britain turut menghantar beberapa jet pejuang Tornado GR4, manakala AS menghantar 19 pesawat termasuk pengebom halimunan B2, untuk membuat pengeboman ke atas Libya.

Dalam reaksi pertamanya terhadap serangan berkenaan, Gaddafi berkata tindakan AS, Britain dan Perancis itu adalah satu keganasan terhadap Libya.
“Kami akan mempertahankan negara ini daripada musuh asing yang mahu mengeksploitasi pergolakan di sini.

“Penduduk Libya bersama saya dalam melancarkan perang besar-besaran terhadap musuh asing ini. Kami sudah membuka depoh senjata bagi mengagih senjata kepada rakyat untuk menentang pengganas ini,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen tempatan semalam.

Tentera Gaddafi mendakwa 48 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan ulama terbunuh dan 150 cedera dalam serangan tentera bersekutu itu, bagaimanapun angka itu tidak dapat disahkan oleh pihak berkecuali.

Keganasan meletus di Libya sejak sebulan lalu apabila Gaddafi cuba menghapuskan bantahan rakyat yang mahu menamatkan pemerintahan kuku besi beliau sejak 42 tahun lalu.

Pemberontak yang menguasai bandar kedua terbesar Libya, Benghazi menyambut baik serangan tentera bersekutu itu yang dijangka mengubah momentum untuk memihak kepada pemberontak selepas tentera Gaddafi mampu menyingkir mereka daripada beberapa bandar.

Bangkai kenderaan tentera Gaddafi yang musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam, membolehkan pasukan pemberontak mara ke bandar Ajdabiyah untuk menawannya semula selepas disingkir tentera kerajaan minggu lalu. – Reuters/Agensi/AFP
sumber : berita harian online

* apakah yang akan berlaku pada dunia Islam kini ? dimanakah kekuatan umat Islam dhari ini ? kemanakah saudara-saudara sesama Islam lain dikala saudaranya dilanda kedukaan ? tidak cukupkah Palestin menjadi saksi akan sikap umat Islam kini yang bersikap individualistik ? dimanakah pemimpin-pemimpin dunia Islam yang seharusnya berada dibarisan hadapan bersama rakyat mempertahankan Islam ??

Friday, March 18, 2011

Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

Foto
 Loji nuklear boleh meletup menyebabkan tragedi lebih besar apabila paras radiasi meningkat
                  
Foto
HELIKOPTER tentera Jepun membawa air laut untuk dijirus ke reaktor nuklear Fukushima bagi menyejukkannya, semalam.     
TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.
Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.
Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.

Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.

Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: “Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan.” 
Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: “Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl.”

Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.

Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.

Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.

Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.

Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’ adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.

Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.

Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi
*sumber : berita harian online


Jepun Dilanda Gempa Bumi Paling Teruk | Japan Ran Into Worst Earthquake ...